12.06.2011

APABILA MEMINATI SESEORANG,

"Senyum je memanjang...ade ingat kat sesape ke?" Tegur kawanku. Aku tak perasan pulak sejak bila dia tenung aku.
"Ehhh... Zatel. Hehehe.... takdelah. Teringat sesuatu je." Balasku tersipu-sipu sambil membelek buku dengan otak yang kosong.
Entahlah. Sejak semenjak ini aku tidak tahu apa yang sedang bermain di kotak fikiran. Melayang entah ke mana. Ada sesuatu yang telah mencuit hati dan perhatianku. Walaupun terasa gatal menyibukkan diri dengan tugasan amanah tetapi tanpa diundang bayangan tersebut sering juga muncul dengan muka tidak tahu malunya.
"Hemmm...... aku tak tahulah kenapa dengan aku sejak akhir-akhir ini. Aku tak pasti apa puncanya." Luah hatiku dengan nada yang lemah.
"Kau kenapa? Cuba kau 'cer citer ckit' bagi aku paham. Ada masalah hati ehhh?"
"Ish kau ni! Cepat saja menekanya. Entahlah Zatel... aku rasa aku macam dah minat 'somebody'. Walaupun pernah berjumpa dan berbincang semeja sebelum ini, tapi aku dapat rasakan sesuatu selepas berjumpa dengan dia di dalam program aritu. Lepas balik je program tu aku macam nak tahu lebih dalam pasal dia. Aku selidik biodata dia dan apa kesukaannya. Tapi bukan tahap angau lagi ye."
"Aiwahhh.... Ustazah Rahmah dah jatuh cinta ke? Milik kepunyaan siapakah hatimu wahai sahabatku? Hehe.."
"Aku tak jatuh cintalah. Aku cuma minat je. Tapi bila aku fikir fikir balik, salahkah perasaan aku ini, Zatel?"
"Adusssss....... soal hati ini aku payah sikit nak jawab. Bukan apa, aku takda pengalaman la. Tapi yang aku yakin, kalau perasaan tu suci kerana Allah SWT bukan bersadurkan pandangan nafsu, rupa, material mahu pun duniawi.. 'tafaddhol masykura ya ukhti' ".
"Aku sendiri konfius dengan perasaan aku lagi. Aku tak nak lah perasaan ini menjadi permainan syaitan sehinggakan mengganggu kekhusyukkan solat dan ibadah aku. Aku nak ia suci supaya ada keberkatan dan keredhan Ilahi. Bagaimana harus untuk aku uruskan perasaan ini?"
************************
Dilema?
Sama ada untuk melayan perasaan tersebut dan meneruskan bayangan yang tak pernah muncul?
ATAU
Mengambil langkah berani dengan mencari orang tengah yang paling beriman dan dipercayai?
ATAU
Melupakan sahaja dengan menyibukkan diri dan fokus apa yang lebih penting?
**********************
Apa pilihannya? Keliru?
Ber'syura'lah. Berbincang elok-elok dengan orang yang paling dekat dengan kita, yang dalam ilmu dan pengalamannya. Arif dan alim tentang kemahirannya.
Selepas keputusan diputuskan bersama-sama, walau apapun pilihannya; ber-istikharahlah. Mohon Allah redhai setiap keputusan yang telah kita buat.
Apa yang penting?
Kesucian jiwa. 
"Benar-benar beruntunglah orang-orang yang suka mensucikan jiwanya. Dan benar-benar rugilah orang-orang yang gemar mengotorkan jiwanya." (Asy-Syams: 9-10)
Percayalah. Bahawa sesungguhnya mensucikan jiwa itu tugas paling utama bagi umat manusia yang dibawa oleh Rasullah SAW yang diutuskan oleh Allah.
Kesucian jiwa itulah tujuan utama bagi semua orang yang bertaqwa serta beriman kepada Allah. Bagi seseorang yang beroleh keselamatan dan kebahagiaan atau pun kesengsaraan. Dan kecelakaan di sisi Allah Taala itupun tergantung kepada kesucian atau kekotoran jiwa yang ada di dalam diri manusia itu sendiri.
Hanya Allah yang akan memberi penilaian namun kita wajib berusaha untuk mendapat penilaian yang baik dari Allah dengan izin dan kehendaknya.
***********************
Namun, andai kata kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi kesudahannya kita tetap dikecewakan. Bertabahlah! Itulah namanya kehidupan. dikecewakan dan mengecewakan. Dilukai dan melukai.

MENGAPA PERASAAN PEREMPUAN SELALUNYA LEMAH?

Duhai Hawa, mengapa kita terlalu lemah? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kita tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.
Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.
Peliknya, untuk memahami perasaan naluri diriku sendiri, hatiku kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.
Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.
Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.
Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.
Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.
Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."
Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."
Indahnya kata-kata mereka.
 
Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)
Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.
Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.
Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.
Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.
Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.
Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.
Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.
Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.
Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. Ameen!

Lovely batch !

Lovely batch !
U.S